[_private/news_ahdr.htm]

Had pinjaman kakitangan kerajaan Beli rumah kereta dinaikkan. (Utusan Malaysia)
Berita

Kategori: Lain-lain
Date: 27 Oct 2000

Comments

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Belanjawan 2001 menawarkan pelbagai insentif kepada kakitangan awam termasuk menaikkan kadar kelayakan pinjaman perumahan.

Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, kadar pinjaman perumahan akan dinaikkan kepada RM40,000 sehingga RM300,000 berbanding hanya RM35,000 sehingga RM200,000 sebelum ini.

''Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghargai sumbangan dan pengorbanan kakitangan awam dalam membangunkan negara,'' katanya dalam pembentangan Belanjawan 2001 hari ini.

Selain itu, katanya, kadar pinjaman kereta juga akan dinaikkan kepada RM45,000 sehingga RM60,000 berbanding RM23,000 sehingga RM45,000 sebelum ini.

Insentif lain kepada kakitangan awam yang turut diumumkan pada pembentangan belanjawan ialah:

* Kadar pencen terendah kepada kakitangan awam yang telah berkhidmat tidak kurang 25 tahun, akan dinaikkan daripada RM180 kepada RM280 sebulan. Kenaikan itu turut membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah berkhidmat tidak kurang 21 tahun.

* Pesara perkhidmatan awam yang bersara secara pilihan akan dibenarkan mengeluarkan kesemua caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa menunggu umur 55 tahun.

* Elaun kritikal perkhidmatan doktor dinaikkan kepada satu kadar tetap iaitu RM500 sebulan. Sebelum ini elaun kritikal adalah berdasarkan lima peratus daripada gaji atau minimum RM116 sebulan.

* Semua pengetua dan guru besar akan menikmati elaun berjumlah RM100 sebulan bagi sekolah rendah dan RM150 bagi sekolah menengah. Sebelum ini faedah ini hanya dinikmati oleh 4,976 pengetua dan guru besar sahaja.


Last changed: November 03, 2000